Jenama Zara Tutup 1,200 Cawangan Seluruh Dunia

TERKINI
June 15, 2020 - 01:07 PM


Semakin banyak perniagaan jenama-jenama terkemuka seluruh dunia yang terpaksa gulung tikar akibat penularan pandemik COVID-19.

Bagi penggemar jenama pakaian dan barangan Zara, ini mungkin satu khabar menyedihkan buat anda.

Ini kerana pemilik Zara dikatakan akan menutup sehingga 1,200 cawangan di seluruh dunia dalam usaha peruncit pakaian itu mengukuhkan jualan dalam talian semasa pandemik COVID-19.

Inditex, dipetik sebagai berkata oleh akhbar The Guardian, Zara akan menutup antara 1,000 hingga 1,200 cawangan lebih kecil, dengan kerugiannya tertumpu kepada jenama selain Zara.

Jenama lain syarikat Sepanyol itu termasuk Bershka, Pull & Bear dan Massimo Dutti.

Penutupan dijangka tertumpu di Asia dan Eropah. Difahamkan, 107 cawangan Inditex di United Kingdom (UK) tidak akan terkesan dengan ketara.

Inditex berkata, jumlah pekerja akan kekal stabil, dengan kakitangan ditawarkan peranan dalam tugasan lain seperti menghantar pembelian dalam talian.

Jumlah cawangannya akan merosot daripada 7,412 kepada antara 6,700 hingga 6,900 selepas penyusunan semula itu, yang juga termasuk pembukaan 450 kedai baharu.

Inditex, salah satu peruncit pakaian terbesar dunia, terkesan teruk semasa penularan pandemik ini, dengan jualannya merosot 44 peratus kepada 3.3 bilion Euro (RM15.9 bilion) antara 1 Februari hingga 30 April lalu, yang juga suku pertama tahun kewangannya.

Syarikat itu mencatatkan kerugian bersih 409 juta Euro (RM1.97 bilion) semasa suku berkenaan.

Hampir suku daripada cawangannya kekal ditutup sehingga 8 Jun lalu.

Sumber: Berita Harian

Destination: