Kelayakan Piala Dunia 2026: Tak Cukup Garang Punca Impian Malaysia 'Terkubur'

SUKAN
June 12, 2024 - 12:12 AM


Kemenangan 3-1 yang dicatatkan ke atas Chinese Taipei di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi masih belum cukup untuk membawa Malaysia ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026. 

Memerlukan lapan jaringan untuk cuba menyaingi kedudukan Republik Krygyz, Harimau Malaya turun dengan mentaliti menyerang namun peluang yang diperolehi duo pemain lincah, Akhyar Rashid dan Safawi Rasid gagal dimanfaatkan.

Sebaik aksi memasuki minit ke-20, kem negara sedikit tersentak apabila Yu Yao-Hsing berjaya mengambil kesempatan untuk meledak gol pertama perlawanan. Kedudukan 1-0 yang memihak kepada Chinese Taipei kekal sehingga separuh masa pertama tamat.

Memasuki babak kedua, Harimau Malaya bermula dengan langkah lebih positif apabila Akhyar berjaya merobek gawang lawan namun sayangnya jaringan itu dibatalkan selepas dia dikesan berada di kedudukan offside.

Pada minit ke-53, Safawi yang mempersiakan deretan peluang di babak pertama akhirnya menghadirkan keceriaan buat penyokong negara apabila menghasilkan jaringan semangat untuk terus memberikan tekanan buat pelawat.

Selang 16 minit selepas itu, suasana dalam stadium terus bergema untuk meraikan jaringan kedua yang disempurnakan oleh bintang naturalisasi, Paulo Josue, diikuti gol ketiga menerusi pemain gantian Muhammad Adib Raop pada masa kecederaan. 

Bagi Piala Asia 2027  pula, Malaysia perlu menempuh pusingan ketiga kelayakan pertandingan itu dalam usaha membuat penampilan kedua berturut-turut.

 

Sumber: Kosmo

Destination: