Olimpik 2024: Cipta Kejutan, Tang Jie-Ee Wei Atasi Pasangan Ranking Kedua Dunia

SUKAN
July 29, 2024 - 04:31 PM


Rentak cemerlang terus dipamerkan pasangan beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei apabila menjadi juara kumpulan D selepas memenangi perlawanan terakhir peringkat kumpulan tersebut sebentar tadi. 

Lebih manis, pasangan tersebut mencatat kemenangan ke atas pasangan dari China yang berada ranking kedua dunia, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping dalam aksi yang berlanjutan hingga ke set ketiga.

Pada set pertama, gandingan negara menunjukkan permainan yang baik namun tewas kepada pasangan China dengan mata 21-17. 

Memasuki set kedua, pasangan yang kini menghuni ranking kesembilan dunia itu menampilkan permainan lebih bertenaga apabila meraih kemenangan 21-15. 

Ia sekali gus mengheret permainan ke set penentuan dimana Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei akhirnya mengesahkan status selaku juara kumpulan dengan jurang mata 21-16.  

Kemenangan itu turut menamatkan penantian mereka yang tewas pada dua aksi terakhir bertemu lawan tersebut di pentas antarabangsa.

Perlawanan badminton yang seterusnya membabitkan pemain perseorangan wanita, Goh Jin Wei yang akan bertemu wakil Afrika Selatan, Johanita Scholtz, kira-kira jam 8.50 malam ini.

Manakala, Aaron Chia-Soh Wooi Yik pula akan berhadapan dengan gandingan ranking nombor satu dunia, Liang Wei Keng-Wang Chang pada 3.10 pagi esok. 

 

Sumber: BAM

Destination: