Piala Asia 2023: Qatar Jumpa Jordan Di Final

SUKAN
February 08, 2024 - 10:34 AM


Kejohanan Piala Asia bagi edisi 2023 yang bermula 13 Januari lepas bakal melabuhkan tirainya pada sabtu ini. Qatar yang merupakan tuan rumah dan juara bertahan telah menewaskan Iran 3-2 dalam aksi sengit separuh akhir Piala Asia di Stadium Al Thumama malam tadi.

Penyerang Almoez Ali telah menjaringkan gol kemenangan yang membolehkan pasukannya mara ke final untuk menentangJordan.

Iran membuka tirai jaringan menerusi sepakan gunting Sardar Azmoun yang menerjah gawang pada minit ke-4 sebelum Qatar menyamakan kedudukan hasil rembatan Jassem Gaber yang terkena pemain lawan sehingga melepasi penjaga gol Alireza Beiranvand.

Tuan rumah kemudiannya menjarakkan kedudukan selepas Akram Afif meledak rembatan dalam kotak penalti sejurus sebelum rehat. Namun Alireza Jahanbakhsh menjadikan kedudukan 2-2 hasil sepakan penalti selepas bola terkena tangan pemain Qatar.

Ketika kedua-dua pasukan saling mengasak untuk mencari gol ketiga, Ali yang juga penjaring terbanyak 2019 menjaringkan gol kemenangan Qatar apabila melepaskan rembatan ke penjuru gawang manakala harapan Iran untuk mencipta kebangkitan terjejas selepas Shojae Khalilzadeh dibuang padang pada lewat permainan.

Qatar akan bertemu dengan Jordan yang menewaskan Korea Selatan untuk mara ke final pertama mereka.

Pertemuan tersebut bakal menentukan adakah Qatar dapat memburu gelaran kedua atau adakah Jordan akan dapat menggapai kejuaraan Piala Asia pertama mereka. Semuanya akan terjawab pada aksi final yang bakal berlangsung Sabtu ini.

 

Sumber: Instagram, X & Harian Metro

Destination: