Piala Dunia Hoki 5s 2024: Cipta Sejarah, Malaysia Melangkah Ke Final

SUKAN
January 31, 2024 - 12:34 PM


Skuad hoki lima sebelah (5s) lelaki negara melakar sejarah apabila berjaya mara ke final Piala Dunia Hoki 5s 2024 selepas menundukkan Poland 4-3 pada aksi separuh akhir yang berlangsung di Muscat, Oman awal pagi tadi. 

Dalam aksi di Stadium Hoki Muscat, Oman itu anak-anak buah Wallace Tan menunjukkan semangat juang cukup tinggi untuk menguasai permainan biarpun Poland cuba bangkit pada lewat permainan.

Aksi separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 1-1 dengan gol Malaysia dijaringkan Ishak Arif pada minit ke-7 menerusi penalti stroke sebelum Poland bangkit menyamakan kedudukan dua minit kemudian menerusi Damian Jarzembowski.

Bersambung pada babak kedua, Malaysia tidak menunggu lama untuk kembali dihadapan apabila Mohamad Kamarulzaman Kamaruddin berjaya menjaringkan gol padang pada minit ke-19.

Jaringan itu ternyata menyemarakkan semangat anak-anak buah Wallace dan kapten negara, Mohamad Akhimullah Anuar Esook berjaya meledak dua jaringan padang pada minit ke-22 dan pada minit ke-24.

Tersentak dengan jaringan itu, Poland yang mempunyai kelebihan dari sudut fizikal menggandakan asakan pada lewat perlawanan dan mereka berjaya merapatkan kedudukan menerusi dua jaringan Wojciech Rutkoski (m-27) dan Jakub Holosyniuk (m-30).

Holosyniuk mendapat peluang keemasan untuk mengikat kedudukan pada saat akhir permainan, tetapi beliau mensia-siakan peluang ‘penalty challenge’. 

Keputusan 4-3 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan dan Malaysia akan berdepan Belanda di pentas akhir esok selepas skuad The Oranje menumpaskan tuan rumah Oman 5-3 dalam satu lagi aksi separuh akhir.

 

Sumber: Utusan Malaysia

Destination: