Boikot Berkesan, Berjaya Food Umum Kerugian Bersih RM42.58 Juta

TERKINI
February 22, 2024 - 12:29 PM


Kekejaman yang dilakukan oleh Israel terhadap rakyat di Palestin telah menyebabkan masyarakat dunia memulakan gerakan untuk memboikot produk dan jenama yang memberi sokongan kepada negara haram tersebut.

Tidak ketinggalan di Malaysia, rata-rata penduduk di negara ini turut sama memboikot sebagai tanda solidariti kepada Palestin.

Kesannya, Berjaya Food Berhad (BFood) iaitu pemilik francais tempatan rangkaian makanan dan minuman popular Starbucks, mengalami kerugian bersih sebanyak RM42.58 juta berbanding dengan keuntungan bersih RM35.49 juta pada suku sama setahun lalu.

BFood memperoleh pendapatan lebih rendah sebanyak RM182.55 juta bagi suku kedua berakhir 31 Disember tahun lalu. Ia berbanding pendapatan sebanyak RM295.32 juta bagi tempoh sama, tahun sebelumnya. 

Syarikat itu mengaitkan pengurangan pendapatan berkenaan disebabkan boikot berterusan yang dikaitkan dengan konflik Asia Barat, sekali gus memberikan kesan kepada sentimen pengguna.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata kerugian bersih terutamanya disebabkan oleh jualan lebih rendah dicatatkan dan kerugian sekali saja daripada pelupusan keseluruhan kepentingan ekuiti dalam Jollibean Foods Pte Ltd.

"Penurunan pendapatan kebanyakannya adalah disebabkan boikot berkaitan konflik di Asia Barat," kata Bfood.

Bagi tempoh enam bulan, kumpulan tersebut merekodkan kerugian bersih RM23.55 juta berbanding keuntungan bersih sebanyak RM70.18 juta, manakala pendapatan susut 20 peratus kepada RM461.09 juta daripada RM578.37 juta.

Mengenai prospek, lembaga pengarah berpandangan bahawa prestasi operasi BFood akan menunjukkan peningkatan bagi baki suku tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024.

"Tambahan lagi, lembaga pengarah percaya bahawa prestasi operasi akan pulih dan meraih momentum, melihat situasi semasa sebagai bersifat jangka pendek dan menjangkakan kemajuan positif menuju ke hadapan," tambahnya.

 

Sumber: Berita Harian

Destination: