Syed Saddiq Disabit Bersalah Semua 4 Pertuduhan

TERKINI
November 09, 2023 - 11:38 AM


Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memutuskan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bersalah atas empat pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).​

Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

"Mahkamah memutuskan pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah dan pendakwaan berjaya melepasi keraguan munasabah.

"Oleh itu, tertuduh didapati bersalah di atas kesemua pertuduhan," kata Hakim Azhar.

Kes ini dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Mohd ‘Afif Ali, manakala peguam adalah Gobind Singh Deo dan Haijan Omar mewakili bekas Ketua Armada Bersatu tersebut.

Pertuduhan pertama menunjukkan Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan bekas Penolong Bendahari Armada Rafiq Hakim Razali yang diamanahkan dengan dana Armada berjumlah RM1 juta, untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu. Perbuatan itu didakwa mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise. Pertuduhan ini didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Presiden MUDA itu dituduh melakukan kesalahan tersebut mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram, jika sabit kesalahan.

Destination: