"Festival Outdoor Pertama Di Malaysia" Kembali Lagi Di Lenggong Jun Ini. ODF23 Lebih Besar & Lagi Gempak!

TRAVEL
May 22, 2023 - 01:09 PM


Sejak kebelakangan ini, trend aktiviti luar atau outdoor seperti camping, hiking, glamping, healing, stand-up paddling semakin popular dan diminati rakyat Malaysia.

Buktinya tahun lepas meskipun julung kali diadakan "Festival Luar Pertama Di Malaysia" iaitu LENGGONG OUTDOOR FESTIVAL 2022, sambutan yang diterima cukup luar biasa apabila berjaya mengumpulkan lebih 30 kumpulan komuniti dan lebih 1000 orang peminat aktiviti luar dari seluruh negara!

Susulan kejayaan itu, tahun ini LENGGONG OUTDOOR FESTIVAL 2023 diteruskan lagi dengan penganjuran yang lebih besar dan terbaik dari tahun lepas.

LENGGONG OUTDOOR FESTIVAL 2023 bakal berlangsung selama 3 hari 2 malam iaitu dari 16 hingga 18 Jun ini.

Bertemakan 'Unplug & Reconnect', LOCCO selaku penganjur festival turut mendapat kerjasama daripada Majlis Daerah Lenggong (MDL).

Lebih menarik, penganjuran Lenggong Outdoor Festival atau singkatannya ODF23 turut dijenamakan semula sebagai “KAHF LENGGONG OUTDOOR FESTIVAL 2023”’ selepas menerima penyertaan Kahf iaitu jenama penjagaan diri dan dandanan lelaki yang halal dari Indonesia, selaku penaja utama.

Malah tidak ketinggalan, Rileklah yang juga portal travel dan gaya hidup tempatan turut tampil sebagai Rakan Media bagi penganjuran ODF23 kali ini.

Jadi akan ada banyak giveaway dan contest dengan hadiah keseluruhan bernilai hampir RM5,000 bakal kami berikan kepada korang yang berminat untuk menyertai LENGGONG OUTDOOR FESTIVAL 2023.

Tetapi sebelum itu, mesti ramai yang masih tertanya-tanya apa sebenarnya ODF23? Ada apa yang menarik masa ODF23 nanti? 

Jom min jelaskan tentang apa itu ODF23 dan segala maklumat mengenai festival luar ini supaya mudah untuk korang faham dan mengatur perjalanan serta menyertai segala aktiviti yang ada di sana nanti. 

APA ITU ODF23?

ODF23 sebenarnya merupakan festival luar pertama di negara ini yang menggabungkan 6 kategori aktiviti luar iaitu sesi pertemuan, bengkel, sukan, cerita kedai kopi, gerai jualan serta muzik dan persembahan dalam satu acara besar-besaran.

Festival 3 hari 2 malam ini diadakan bertujuan bagi mengajak orang ramai untuk berkumpul, bersantai, meraikan kepelbagaian minat, berkongsi idea sambil mengambil peluang bertukar pengalaman dan cerita menerusi pelbagai aktiviti luar yang telah dirancang. 

Menyasarkan lebih 1500 penyertaan, ODF23 didukung lebih 35 kumpulan komuniti dan turut dimeriahkan dengan tajaan oleh ANBOT, HAUSBOOM, BOOM+, Lost World of Tambun dan Kembara Meals -- serta disokong oleh rakan strategik termasuklah RNR Adventures, Skycamp, Santrav, Rileklah, Pretty World, 30 Ascend, Project Vacation, Santrav, Tanjak, KKTM Lenggong, Decathlon dan Nomadism.

Penganjuran ODF 2023 dilihat sebagai medium dan platform penyatuan pelbagai aspek kehidupan rakyat Malaysia -- antaranya gaya hidup sihat, aktiviti fizikal, lasak serta ekstrem yang menyantuni setiap lapisan umur masyarakat, dan juga kombinasi gabungan komuniti yang turut menyambung kepada pembangunan ekonomi setempat secara tidak langsung

KENAPA DI LENGGONG, PERAK?

Lenggong dipilih menjadi lokasi utama ODF23 adalah kerana bentuk muka buminya yang menarik serta bersesuaian untuk pelbagai aktiviti luar.

Selain itu, tarikan di daerah tersebut yang sememangnya gah di peta pelancongan negara seperti pengiktirafan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO-Arkeologi Lembah Lenggong dan pada tahun 2021 telah diisytihar pula sebagai Geopark Kebangsaan yang ke-4.

Bahkan Daerah Lenggong yang terkenal dengan Tasik Raban dan Kampung Beng sehingga mendapat jolokan 'Mini Amazon Malaysia' serta menjadi antara destinasi penternakan rusa terbesar di negara ini -- tidak hairanlah Lenggong sentiasa menjadi pilihan lokasi ODF23.

Malah signifikan diadakan Lenggong Outdoor Festival pada tahun lepas juga adalah bersempena sambutan ulangtahun ke-10 Lenggong sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

6 KATEGORI UTAMA BAGI AKTIVITI ODF23

1 - Pertemuan (Meetups)

Lebih 35 komuniti luar yang terdiri daripada kumpulan yang suka berkhemah, mendaki gunung, berkayak, berbasikal, pelari, stand up paddlingmotor home serta caravan bertemu dan bertukar-tukar buah fikiran.

2 - Bengkel (Workshops) 

Peserta ODF23 juga berpeluang mengikuti Bengkel Bushcraft, Perkhemahan 101, Survival 101, Penciptaan Kandungan 101, tips kecergasan, bantuan kecemasan serta demonstrasi memanggang kopi.

Bukan itu sahaja, turut diadakan juga adalah demonstrasi handmade paracord, ultralite hiking, rope & climbing, pembuatan sabun organik serta bengkel keselamatan dalam air.

3 - Sukan Luar (Outdoor Sports)

Pelbagai aktiviti sukan luar seperti Water Sports, Bridge Rappeling, Wall Climbing, Archery, Cycling turut ditawarkan kepada peserta ODF23.

Tetapi korang jangan terlepas untuk join aktiviti merentas desa kerana larian hampir 10 KM itu bukan sahaja menawarkan hadiah menarik tetapi juga peserta berpeluang menikmati pemandangan indah matahari terbit di sekitar Tasik Raban dan melalui perkampungan tradisional yang ada di sana nanti.

Menariknya penganjuran ODF23 kali ini ada beberapa aktiviti baharu yang diperkenalkan seperti ODF Ride, Lake Flying Fox, Flatland Skimboarding dan Tree Climbing. 

4 - Cerita Kedai Kopi

Selain itu, bagi merancakkan perjalanan ODF23, sesi perkongsian dan forum turut disenaraikan termasuklah Cerita Kedai Kopi, Sembang Bawah Fly, kesedaran komuniti dan klinik kayuhan basikal. 

5 - Gerai Jualan (Sales Booth)

Sepanjang 3 hari ODF23, korang juga berpeluang untuk membeli segala peralatan perkhemahan, survival dan produk sukan luar di kesemua gerai jualan yang beroperasi di tapak festival.

Bukan itu sahaja, malah ada juga gerai-gerai yang menjual makanan dan minuman daripada para peniaga tempatan tetapi masih lagi dengan 'harga Lenggong' iaitu murah dan berpatutan.

6 - Muzik & Persembahan (Music & Performance)

Peserta juga akan disajikan dengan persembahan muzik santai pada waktu malam oleh kumpulan band muzik gig dan tempatan seperti Teman Lelaki, Cisco, Nami, The Mirza, Didie Shazry, Kamilla Akustika, Busker by Hausboom serta ramai lagi.

Lebih best korang juga akan dapat enjoy persembahan api (fireshow) dan siap ada bonfire lagi.

JENIS PENGINAPAN DI ODF23

Kalau korang nak tahu sebenarnya lokasi tepat ODF23 adalah di Resort Tasik Raban dan jenis penginapan yang ditawarkan untuk mereka yang ingin bermalam di sana tentulah berbentuk khemah serta tapak perkhemahan.

Jika korang nak merasai pengalaman bermalam di dalam khemah yang semuanya lengkap dengan kemudahan selesa di dalamnya, tinggal tidur dan bangun keesokkan hari dengan view memukau Tasik Raban -- korang boleh menempah khemah SKYCAMP CAMPSITE. 

Tetapi SkyCamp memang 'laku bak goreng pisang panas' sebab setahu min kesemua khemah mereka telahpun sold out!

Namun jangan bersedih sebab korang masih boleh menyewa tapak perkhemahan di SANTUY CAMPSITE. Kalau korang memang dah ada segala peralatan perkhemahan korang cuma perlu sewa tapak sahaja di sana. Tetapi jika tiada pun korang jangan risau kerana di ODF23 ada menyediakan khidmat sewaan peralatan perkhemahan khas untuk korang! Settle bab penginapan di tapak festival!

ADA KE PENGINAPAN LAIN DI LUAR TAPAK ODF23?

Bagi mereka yang tidak mahu memilih penginapan jenis perkhemahan yang ada di tapak ODF23, korang juga bebas untuk bermalam di luar kawasan Tasik Raban atau sekitarnya.

Ini kerana di sekeliling Tasik Raban seperti di Kampung Beng dan Lenggong sebenarnya mempunyai banyak tempat penginapan lain seperti resort, chalet, glamping, hotel serta homestay yang boleh korang sewa.

Berikut antara senarai penginapan yang ada di sekitar Lenggong untuk korang pilih :-

- Rumah Sungai
- D'Green Chalet Kampung Temelong
- Kuak Hill Resort
- Galeri Arkeologi Lenggong
- Sumpitan Glamping_@ D'impiana
- Riverview
- Masbro Hidden Village
- Aki's Gallery.
- Lenggong Longhouse Campsite
- Restoran Ikan Bakar Tasik Raban
- Kiah Pekasam
- Kebebe Cafe Lenggong
- Rumah Makan Rusa A76
- Riverine Nature Camp
- Lata Kekabu, Lenggong
- Air Terjun Lata Layang, Lenggong
- SukaSuka Lake Retreat, Kg Kelantan
- Homestay Rumah Tiang 16
- Homestay Kampung Beng
- Ummi Lakeside Cabanas
- Raban 181 Orchardstay

TIKET ODF23

Untuk menyertai ODF23 korang sebenarnya dah boleh beli tiket mulai sekarang, sebab kalau lambat nanti takut habis pulak!

Tiket ODF23 dijual pada harga RM120 seorang dan untuk lebih penjimatan korang boleh beli secara 1 kumpulan 4 orang (skuadron) dengan harga RM440. 

Apa yang akan korang terima dengan pembelian tiket ini, adalah :-

1) Akses ke ODF23 untuk 3 hari 2 malam

2) Akses menyertai sukan luar kecuali 3 aktiviti berbayar asing iaitu Rapelling, Zip Line & Mini Amazon 

3) Akses untuk menonton muzik dan persembahan

4) Penyertaan semua bengkel yang dianjurkan

5) Gelang tangan rasmi ODF23 & Goodie Bags

6) Insurans

Korang boleh buat pembelian tiket secara online di laman web rasmi ODF23 ini.

Peserta juga boleh mendapatkan maklumat berkaitan ODF23 seperti jadual aktiviti di laman sesawang www.outdoorfest.my selain mengikuti media sosial rasmi ODF23.

Tapi korang boleh juga berpeluang mendapatkan tiket secara percuma di Facebook Page Rileklah dan beberapa hadiah misteri kerana kami akan mengadakan beberapa 'giveaway' istimewa untuk mereka yang bertuah. Jadi korang kena follow & like serta rajin-rajinlah tengok posting di Facebook Page Rileklah tau!!!

PETA LOKASI ODF23

BOLEH KE DATANG SOLO KE ODF23?

Mungkin ramai yang berminat untuk menyertai ODF23 tetapi kebetulan mereka tidak mempunyai kawan atau geng yang free pada bulan Jun nanti, korang jangan risau.

Ini kerana pihak penganjur ODF23 memahami masalah korang tu dan telah membuat inisiatif membuat grup WhatsApp Solo ODF bagi menemukan korang semua supaya korang tidak bersendirian ketika menyertai ODF23 nanti.

Malah pada malam hari pertama nanti, mereka yang datang secara solo akan dikumpulkan bagi berkenal-kenalan sesama sendiri dan dari situ bolehlah korang berkawan serta membuat aktiviti bersama-sama.

Korang yang nak join, boleh tekan link grup WhatsApp Solo ODF ni. 

KEMUDAHAN APA YANG DISEDIAKAN DI TAPAK ODF23?

Disebabkan ODF23 diadakan selama 3 hari 2 malam serta memerlukan kemudahan penginapan yang lengkap dan selesa -- maka pihak penganjur telah bersiap siaga menyediakan segala fasiliti khas buat kesemua peserta ODF kali ini.

Antara kemudahan asas yang disediakan adalah tandas, bilik mandi mudah alih, surau dan dewan untuk kes kecemasan.

Malah untuk memastikan peserta ODF23 dapat menggunakan telefon pintar mereka bagi mengambil gambar dan merakam video sepanjang festival itu nanti -- disediakan juga buat mereka kiosk-kiosk elektrik bagi mengecas telefon dan powerbank.

Jadi korang dah tak perlu risau sekiranya telefon pintar korang akan kehabisan bateri sepanjang di ODF itu nanti.

Jika ada yang bertanya di lokasi ODF23 adakah talian komunikasi boleh digunakan dan jawapannya YA -- kesemua line telco yang korang guna mempunyai connection yang stabil di Lenggong, jadi usah gusar sekiranya korang tak dapat nak upload gambar atau update video di media sosial korang nanti!

Segala jenis pembayaran untuk pembelian peralatan outdoor ataupun makanan dan minuman di gerai jualan juga telah disediakan dengan kemudahan QR Pay atau transfer online sahaja. Jadi tanpa mempunyai wang tunai di tangan pun korang boleh enjoy sepanjang 3 hari di ODF!

ODF23 DITAJA OLEH KAHF & HAUSBOOM

Dalam edisi kedua penganjuran tahun ini, menariknya ODF23 telah menerima tajaan daripada 2 jenama besar iaitu sebuah jenama penjagaan diri dan dandanan lelaki yang halal dari Indonesia, KAHF dan jenama minuman terkenal tempatan, HAUSBOOM!

Khabarnya Kahf akan mewujudkan kiosk-kiosk di tapak ODF yang menyediakan krim pelindung matahari atau 'sunscreen' secara percuma setiap masa kepada kesemua peserta ODF23.

Maklumlah bila buat aktiviti outdoor mestilah wajib memakai sunscreen untuk melindungi kulit dari sinar UV, kalau tak gelap kulit kita nanti.

Nak sembur-sembur 'mist' atau penyegar haruman bila dah berpeluh nanti pun ada juga disediakan oleh Kahf. Best, kan!!!

Seperti yang kita tahu sekarang ni negara kita sedang mengalami cuaca panas, pastinya ramai peserta ODF yang melakukan pelbagai aktiviti outdoor akan mudah haus atau terhidrasi -- jadi bagi mengelakkan kejadian strok haba jenama minuman popular HausBoom juga bakal menaja bekalan air secara 'free-flow' setiap masa kepada peserta. Seronok dengar, kan!! Terima kasihlah kepada penaja ni semua!!!

RAMALAN CUACA & MUSIM DURIAN KETIKA ODF23

Memandangkan ODF23 akan diadakan pada 16, 17 & 18 Jun ini, ramalan cuaca untuk ketiga-tiga hari tersebut adalah musim panas dan tiada hujan.

Tetapi berita baiknya adalah pada bulan Jun nanti, Lenggong dikatakan akan meriah dengan musim buah durian dan menurut sumber penduduk tempatan, durian kampung di Lenggong pernah dinobatkan antara durian yang terbaik di negeri Perak!

Jadi kalau ada rezeki dapatlah peserta ODF23 merasa kelazatan durian kampung Lenggong nanti! InsyaAllah harap adalah penaja yang bermurah hati nak 'payung' pesta durian kat tapak festival nanti, kan. Hehehe....

Jadi korang tunggu apa lagi mohle join ODF23! Rugi korang tak join! Macam-macam pengalaman best bakal korang bawa balik nanti....nak tahu lebih lanjut tentang details dan tempahan tiket atau khemah korang layari je laman web rasmi ODF23 di outdoorfest.my. Jumpa korang di Lenggong!!!

VIDEO PENUH BERSAMA PENGARAH LENGGONG OUTDOOR FESTIVAL 2023

Destination: