Abang Rider Tegur Warga Singapura Isi Minyak Dalam Tong "Digantung"

TERKINI
June 22, 2023 - 02:55 PM


Penghantar makanan yang viral kerana menegur dua warga Singapura mengisi minyak menggunakan tong, mendakwa kehilangan kerja selepas akaun Grab miliknya digantung sejak semalam.

Menerusi perkongsi video di laman Tiktok atas nama matkibot, lelaki tempatan berusia 44 tahun itu berkata, akaun aplikasi pintar telah digantung sejak pukul 6 petang semalam.

@matkibot #takdirrider #grabfood #pilotdaratMalaysia #ron95 #malaysiakita #malaysiatiktok #foodpandarider #shopeerider #grabfood ♬ original sound - matkibot

“Selepas video ini viral di media sosial, Grab telah suspended (gantung) pada pukul 6 petang hari ini (semalam), saya segera menghubungi perkhidmatan pelanggan Grab. Saya diberitahu akan dihubungi pihak atasan Grab dalam masa 24 jam.

“Selepas 20 minit saya telah dihubungi pihak Grab, saya diberitahu ada orang membuat laporan.

“Melaporkan saya mengeluarkan skru driver (pemutar skru) untuk melawan, CCTV (rakaman televisyen litar tertutup) ada, boleh la check (semak),” katanya.

Lelaki itu berkata, dia mengambil pendirian berani kerana benar selain mendakwa tidak bersalah selain periuk nasinya dihalang dua individu.

Katanya, dia tidak dapat mengambil tempahan semalam dan tidak tahu bila ia akan berakhir.

“Saya dapat RM100, kena hantar RM50 untuk isi perut anak bini, begitulah kita di Malaysia, okey tak kalah pun, tak takut pun, akhirnya kita mati juga begitulah nasib rakyat Malaysia,” jelasnya.

Susulan itu, Ketua Polis Daerah Iskandad Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, siasatan mendapati kejadian itu berlaku pada pukul 8.37 malam, 16 Jun lalu.

Ujarnya, pertelingkahan dipercayai berpunca daripada salah faham apabila pekerja penghantar makanan menegur lelaki warga Singapura mengisi minyak ke dalam tong.

“Hasil siasatan kita mendapati terdapat salah faham, lelaki warga Singapura itu mendakwa mengisi minyak ke dalam tong untuk kegunaan go-kart.

“Semasa kejadian, mereka (lelaki Singapura) belum lagi mengisi minyak sebelum ditegur rider dan berlaku pertelingkahan antara kedua-dua pihak,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Destination: