Akhirnya JAKIM Keluar Kenyataan Berhubung "Cicit Nabi". Pesan Kepada Orang Ramai Agar Berhati-Hati!
TERKINIJabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) setakat ini tidak pernah membuat apa-apa kenyataan rasmi berhubung latar belakang individu yang didakwa sebagai keturunan ke-38 Nabi Muhammad.
Penjelasan itu dibuat di Facebook badan itu ketika menjawab soalan pengguna maya yang mahu tahu berkaitan dakwaan lelaki itu terlibat dalam kesalahan seperti penipuan wang dan nasab.
“Setakat ini Jakim tidak pernah membuat apa-apa kenyataan rasmi berhubung latar belakang individu berkenaan.
“Namun, Jakim menasihatkan orang ramai untuk mengambil langkah berhati-hati dengan dakwaan yang tidak jelas mengenai latar belakang individu tersebut,” kata jabatan itu.
JAIS ANTARA YANG MELARANG CERAMAH DARIPADA INDIVIDU TERBABIT
Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) minggu lepas dilapor melarang ceramah atau program Maulidur Rasul yang dihadiri lelaki itu yang dirujuk di media sosial sebagai Sayyid Muhammad Amin Al Idrisi Al Hasani Al Maghrobi.
Video lelaki itu secara tiba-tiba tular di pelbagai platform media sosial dan mengundang perdebatan awam berkaitan kesahihan statusnya.
KOMEN DARIPADA USTAZ AZHAR IDRUS
Antara yang turut mengulas isu itu ialah Azhar Idrus.
Penceramah popular dari Terengganu itu bagaimanapun lebih terbuka dan menasihatkan orang ramai bersangka baik.
Membandingkannya dengan konsert yang “terang-terang fasik”, Azhar berkata kedatangan individu tersebut tidak mendatangkan mudarat kepada umat Islam, sekali pun dakwaan dia tidak benar.
“Jika bukan dia keturunan nabi sekali pun tiada masalah kerana ia tidak memudaratkan masyarakat di negara ini kerana kedatangannya adalah untuk menghadiri majlis sambutan Maulidur Rasul.”
@ustazazharidrus Kedatangan Lelaki Mengaku Keturunan Nabi #uaioriginal #ustazazharidrusofficial #ustazazharidrus #fyp ♬ original sound - Ustaz Azhar Idrus Official
Azhar bagaimanapun menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menentukan dakwaan itu benar, lapor Kosmo!.
JAKIM SERAH KEPADA PIHAK BERKUASA AGAMA NEGERI MEMANTAU
Sementara itu, Jakim sebentar tadi berkata mereka mengambil maklum mengenai kunjungan individu itu.
“Difahamkan beliau menghadiri beberapa program yang telah diatur di beberapa buah negeri,” kata Jakim.
“Jakim percaya pihak berkuasa agama negeri dan pihak berkuasa yang bertanggungjawab mengambil maklum dan perhatian mengenai program-program yang melibatkan kehadiran beliau.”