'Menyibuk Hal Orang Boleh, Bila Orang Perli Koyak' - Sebab Mydin Sindir, Caprice Nak Saman RM30 Juta!

TERKINI
October 20, 2022 - 11:53 AM


Penyanyi rap sensasi, Caprice memberi tempoh 24 jam kepada pihak pasar raya Mydin untuk membuat permohonan maaf secara terbuka susulan hantaran di media sosial yang didakwa memalukan dirinya.

Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli, 34 tahun berkata dia terkejut dan kecewa dengan hantaran yang dibuat di Twitter rasmi Mydin seolah-olah menyindirnya semasa dia sedang mempertahankan kes yang besar.

“Terima kasih pada yang sampaikan hantaran ini pada saya. Sejujurnya saya terkejut dan kecewa apabila jenama yang saya suka dan sokong ini menyindir atau memerli saya semasa saya sedang memperjuangkan kes besar.

“Kepada sesiapa yang tidak berpuas hati dengan saya, saya memohon maaf jika cara saya kasar bermula dari kes PU lagi. Dari situ ramai sindir serta kecam saya. Saya tahu kes ini ramai tak percaya dan tak selesa untuk dengar. InsyaAllah kita akan sentiasa bantu dalam membela bangsa,” katanya.

Melalui hantaran berbeza, Caprice memaklumkan pihaknya akan mengenak saman sebanyak RM30 juta kepada pihak Mydin sekiranya permohonan maaf secara terbuka tidak dibuat dalam tempoh 24 jam.

“Disebabkan oleh hantaran dibuat @mydinmalaysia pada 19 Oktober, klien kami (Caprice) telah mengalami penghinaan oleh jenama dan kedai yang dia kerap membeli-belah.

“Disebabkan oleh penghinaan awam ini, klien kami tidak lagi berasa selamat dan akan selamanya trauma dengan pembeli, pekerja, dan pelanggan dari @mydinmalaysia. Kami akan meneruskan tindakan undang-undang dan berharap @mydinmalaysia boleh mengeluarkan video permohonan maaf dan pampasan untuk hantaran melulu yang dibuat oleh jenama terkenal ini,” katanya.

Terdahulu, Mydin dalam hantaran di Twitternya semalam telah memuat naik beberapa keping gambar memaparkan teh, topi serta beras dengan kapsyen “Mula-mula ingat nak beli ‘tea’ (teh) je, sekali terbeli ‘cap’ (topi) dengan ‘rice’ (nasi)”.

Nama Caprice kembali menjadi bualan ramai selepas dikaitkan dengan isu melibatkan seorang guru sekolah rendah dikenali sebagai Cikgu Fadli.

Ia berikutan tindakan Caprice yang dikatakan mahu masuk campur dalam isu berbangkit antara guru tersebut dan Kementerian Pelajaran (KPM) baru-baru ini.

Sumber: KOSMO! ONLINE

 

Destination: