[VIDEO] "Dengar Suara KJ, Hiburan Baru Masa Pergi Kerja" - Netizen Teruja KJ Mula Hari Pertama Jadi DJ Hot FM
TERKINIMeskipun pada pagi Rabu mungkin ramai yang terperangkap dalam keadaan trafik yang sangat teruk -- namun pendengar stesen radio Hot FM tetap berasa teruja dan terhibur apabila buat pertama kalinya mereka mendengar suara bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar (KJ) berkumandang sebagai DJ di segmen Bekpes Hot.
Ini kerana pada hari ini (16 Feb) -- KJ memulakan tugasnya sebagai DJ Hot FM secara rasmi selepas mengesahkan dirinya bakal menyertai Hot FM menerusi temuramah melalui telefon pada segmen Bekpes Hot yang dikendalikan Johan, AG dan Datuk AC Mizal pada 9 Februari lalu.
Ternyata suasana berbeza juga dirasai di konti radio Hot FM apabila ahli politik kegemaran rakyat itu hadir dan memulakan tugas pertamanya bersama penyampai bersama Johan dan Muhammad Azmir Selamat (AG) seawal jam 6 hingga 10 pagi.
Walaupun baru pertama kali menjadi penyampai radio, KJ dilihat tidak kekok serta dilihat sangat professional dalam menyampaikan info-info semasa serta bergandingan bersama Johan dan AG.
Sebelum ini di Facebook, Khairy Jamaluddin meminta semua peminat berkongsi topik yang hangat untuk dibincangkan semasa beliau menjadi penyampai bersama rakan-rakan di konti.
Menerusi tinjauan Majoriti di ruangan komen, rata-rata pendengar radio teruja dan memberikan reaksi positif dengan gandingan KJ, Johan dan AG di Hot FM.
"KJ sebenarnya lebih bijak dari ahli politik yang lain, dia gunakan medium radio ini sebagai salah satu cara dia untuk 'berkempen dalam diam' dan lebih mendekati rakyat," ujar Ijafarisha Shahrudain.
"Tiba-tiba hari-hari dengar radio pula," jelas Shira Jalil.
"Kenapa aku rasa terharu pulak, semoga Allah permudahkan urusan KJ dan semua DJ," luah Puan Kay.
"Secara tak langsung rakyat tak akan lupakan dia, bila dengan radio, dia akan ada aura tersendiri dan akan buat dia lebih dekat dengan rakyat," kata Siti Zaleha Seyed Chek.
Sementara itu, ketika ditanya penyampai Hot FM, AG mengenai faktor beliau menerima tawaran dari stesen radio berkenaan.
KJ menjawab, “Saya pun masih ada cita-cita politik, tak nak orang lupa saya.”
Bekas Ahli Parlimen Rembau itu juga berkata, dengan cara tersebut membolehkan beliau dan masyarakat boleh terus berbincang dan ‘bergurau’ setiap pagi selepas pemecatannya daripada UMNO pada 19 November lalu.
Difahamkan, gandingan KJ bersama Johan dan AG di konti Hot FM selama dua minggu adalah bagi menggantikan penyampai Fara Fauzana yang sedang mengerjakan umrah.