[VIDEO] Dulu 'Superman', Sekarang 'Superwoman' Pun Dah Berani Tunjuk Aksi Atas Highway!

TERKINI
July 14, 2023 - 07:25 PM


Pada Rabu lepas, tular satu video yang memaparkan aksi sekumpulan wanita menunggang motosikal di sebuah lebuh raya dalam keadaan berbahaya.

Menerusi video yang dikongsi seorang pelawak terkenal tanah air di laman Twitter miliknya, jelas kelihatan mereka yang bertudung itu menunggang motosikal dengan laju, mencelah dan memotong kereta tanpa menghiraukan keselamatan diri sendiri dan pengguna lain.

Lebih mengejutkan terdapat beberapa orang daripada mereka turut melakukan aksi ‘Superman’ atau lebih tepat digelar ‘Superwoman’ kerana yang melakukannya adalah golongan wanita.

Namun tak tahu di mana hebatnya aksi-aksi ‘Superman’ dan ‘Superwoman’ ini. Dengan kedua-dua kaki di tempat duduk, bagaimanakah hendak menekan brek jika sesuatu tidak diingini berlaku.

Jika terjatuh, muka ayu boleh jadi berparut, kulit licin boleh jadi menggerutu dengan kesan-kesan luka. Kan dah jatuh ‘saham’ bak kata orang muda, dah tak boleh letak wang hantaran tinggi-tinggi.

Malah, jika masih bujang, tak sempat pula nak rasa kebahagiaan alam rumah tangga sebagai isteri sekiranya kehilangan nyawa semasa melakukan aksi-aksi berbahaya sebegini.

'SUPERWOMAN' SUDAH DITAHAN POLIS

Sementara itu, aksi ‘Superman’ dua remaja perempuan menunggang secara berbahaya dengan meniarap di atas motosikal di Lebuh Raya Utara-Selatan mengundang padah apabila ditahan polis semalam.

Ia susulan tular rakaman video berdurasi 45 saat yang memaparkan kedua-dua penunggang motosikal meluruskan kaki ke belakang dan aksi berbahaya zig zag di media sosial sejak kelmarin.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintenden Mohd. Hasni Mohd. Nasir berkata, remaja berusia 18 dan 21 tahun itu ditahan ketika hadir menyerah diri ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim pada pukul 9.10 malam.

“Berdasarkan siasatan, kejadian di Kilometer 375.9 arah utara itu berlaku Ahad lalu. Ketika kejadian, kedua-dua penunggang motosikal itu dari arah Kuala Lumpur ke Ipoh.

“Apabila tiba di kawasan rehat dan rawat Behrang, mereka telah menunggang motosikal secara berbahaya dan melulu dengan aksi Superman dan zig zag,” katanya. 

Menurut beliau, berdasarkan semakan, kedua-dua suspek yang berasal dari Pulau Indah, Selangor itu bekerja sebagai operator platform e-dagang dan pengasuh bayi tidak mempunyai lesen dan rekod jenayah.

“Tindakan saman turut dikenakan ke atas mereka atas kesalahan tiada lesen dan kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sumber: Sinar Harian & KOSMO! ONLINE

Destination: