[VIDEO] "Lawak Sampah!" - Isteri Pramugara MH370 'Sound' Pelawak Singapura Takde Hati Perut
TERKINIPerbuatan pelawak Singapura, Jocelyn Chia yang membuat persembahan berupa penghinaan terhadap Malaysia baru-baru ini kian hangat diperkatakan di laman media.
Turut menyentuh isu tragedi MH370 yang dijadikan bahan jenaka di pentas komedi tersebut, ia telah mengundang seribu satu kecaman susulan perkara itu yang disifatkan keterlaluan kerana tidak peka dengan perasaan keluarga mangsa.
Terbaharu, isteri kepada pramugara pesawat MH370, Mohd Hazrin Mohamed Hasnan iaitu Intan Maizura Othaman meluahkan kekecewaannya di laman TikTok berhubung perkara tersebut.
Terkesan dengan video tular tersebut, Intan Maizura menganggap tindakan pelawak wanita itu sebagai satu perkara memalukan dan tidak rasional.
"Lihatlah dia (Jocelyn) tertawa dengan gurauannya sendiri. Ia bukan lawak. Seteruk mana pun kamu, tetapi jangan buat jenaka dengan menyebut MH370. Anak saya Muhammad masih bersedih sehingga hari ini disebabkan kehilangan ayahnya.
"Tahukah kamu berapa ramai lagi ibu yang masih menangis hingga sekarang. Kamu memang tidak tahu sebab tiada empati dan perasaan.
"Atau mungkin anda juga tidak mempunyai keluarga. Jika kamu ada keluarga pun saya pasti mereka malu dengan tindakan bodoh kamu," katanya menerusi hantaran video di TikTok, selain turut memuat naik kenyataan sama di Facebook.
Tambahnya, secara peribadi jenaka Jocelyn dilihat sebagai tangisan yang mahukan pertolongan daripada manusia terdesak dan keji.
Pada masa sama, Intan Maizura berkata, orang ramai akan mendapat lawak hambar apabila menghadiri sesuatu acara dengan menampilkan seseorang yang tidak mengetahui cara sebenar berjenaka.
Menurutnya, tiada keperluan menggunakan isu kontroversi semata-mata mahu meraih populariti dengan begitu cepat dan normalisasi menggunakan topik mengguris perlulah dihentikan.
"Ingatlah bahawa perasaan rendah diri dan tidak yakin kepada diri sendiri kadangkala boleh mengubah perilaku seseorang.
"Ia boleh membuatkan seseorang membenci diri sendiri dan mencerminkan diri sebagai individu yang tidak berhati perut atau mungkin tiada otak," katanya.
Terdahulu, tular satu video berdurasi 1 minit 29 saat memaparkan tindakan biadab pelawak Singapura yang mempersendakan Malaysia dalam satu program jenaka di negara terbabit.
Susulan itu, kerajaan Singapura turut memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia atas tindakan melampau pelawak berkenaan dan mengesahkan wanita terbabit bukan lagi warganegara negara itu.
Pesuruhjaya Tinggi Singapura-Malaysia, Vanu Gopala Menon menerusi kenyataannya pada Rabu berkata, beliau mengakui terkejut dengan sketsa komedi Jocelyn yang telah menyinggung ramai pihak terutamanya rakyat Malaysia.
"Kerajaan Singapura tidak boleh menerima sebarang kata-kata atau tindakan yang boleh mencetus kemudaratan atau menyinggung perasaan orang lain dan Chia, yang bukan lagi warganegara Singapura sama sekali tidak mencerminkan pandangan kami.
"Saya dengan ikhlas memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia atas komen-komen menyakitkan daripadanya," kata beliau.
Sumber: Majoriti