[VIDEO] "Saya Tahu Ramai Yang Cerca & Tanya Mengapa Harga Minyak Ketika Ini Masih Belum Turun?" - Ini Jawapan PMX

TERKINI
October 04, 2023 - 05:12 PM


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memuat naik video penjelasan beliau mengapa janjinya untuk menurunkan harga minyak seperti diungkap 15 tahun lalu, tidak dapat dilaksanakan.

Melalui hantaran di akaun media sosialnya, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengakui beliau sedar ramai yang menggunakan petikan ucapannya berkait janji menurunkan harga minyak sebelum ini dan menuntut ia ditunaikan sekarang.

"Macam minyak sekarang, saya dicerca merata tempat, 'hari ini menang, esok minyak turun'. Dengar jawapan saya," katanya dalam rakaman video ucapannya pada majlis Ramah Mesra MADANI.

Jelasnya, ketika janji itu diungkapkan 15 tahun lalu, harga minyak Arab Saudi, negara pengeluar minyak terbesar dunia hanya 50 sen seliter berbanding Malaysia RM1.60 hingga RM1.80 seliter.

"Mengapa harga minyak ketika ini masih belum turun? Ini jawapan saya. Bila saya kata itu, 2008 pada masa itu, harga minyak Arab Saudi hanya 50 sen seliter berbanding kita, harganya RM1.80 sen. RM1.60 sen seliter.

"Pasal apa Arab Saudi boleh 50 sen dan kita tinggi sangat, kita pun kena turun la. Mengapa sekarang pada 2023 (tidak boleh turunkan) kerana sekarang harga minyak Arab Saudi lebih tinggi dari Malaysia.

"Kita nak turunkan macam mana lagi? Kita sudah ada beri subsidi, subsidi tinggi dah, RM30 hingga 40 bilion subsidi," kata Perdana Menteri.

Perdana Menteri menjelaskan, Arab Saudi dijadikan ukuran perbandingan kerana negara itu adalah pengeluar minyak yang mengeluarkan bahan api berkenaan berlipat kali ganda berbanding Malaysia.

Awal bulan lalu di Dewan Rakyat, Anwar menjelaskan, harga petrol tidak boleh diturunkan kepada RM1.50 seliter susulan perkembangan membabitkan kadar semasa minyak mentah dunia.

Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata, harga semasa petrol di Malaysia masih rendah, iaitu RM2.05 seliter berbanding Arab Saudi yang menetapkan RM2.84 seliter.

Justeru, beliau yang juga Menteri Kewangan menyifatkan, tidak wajar jika cadangan diajukan beliau ketika 2008 itu, berterusan dimanipulasi tanpa mengambil kira perkembangan semasa.

KOMEN NETIZEN

Destination: