Penceramah Selebriti, PU Azman Didakwa Melakukan Perbuatan Melampau Terhadap 2 Remaja Lelaki

TERKINI
October 12, 2022 - 03:51 PM


Penceramah selebriti, Pencetus Ummah (PU) Azman atau nama sebenar Azman Ilyas didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban, Negeri Sembilan pada Rabu atas 5 pertuduhan melakukan amang seksual terhadap dua remaja lelaki pada Februari dan Julai lalu.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan kelucahan melampau itu terhadap dua remaja lelaki berusia 16 dan 17 tahun.

PU Azman atau lebih mesra disapa Cik Man, 41 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datin Surita Budin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

PU Azman yang hadir ke mahkamah memakai baju kurta berwarna gelap ditemani peguam, kakak dan abang iparnya kira-kira pukul 8.30 pagi.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya iaitu Husni Fairos Ramly memohon mahkamah mengenakan jaminan tinggi terhadap tertuduh iaitu RM15,000 bagi setiap pertuduhan kerana kesalahan dilakukan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Peguam yang mewakili tertuduh, Mohamad Zahid Ahmad kemudian memohon jaminan yang rendah atas alasan pendapatan anak guamnya terjejas sejak direman bulan lalu dan memerlukan bantuan keluarga untuk menjaminnya.

"Dia telah hadir hari ini dan menunjukkan kerjasama yang sangat baik.

"Tertuduh berusia 41 tahun adalah seorang bujang dan turut menanggung keluarga di Rantau, Seremban," katanya dalam prosiding kes.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM40,000 bagi kesemua pertuduhan dan tertuduh dilarang menghampiri mangsa seta saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Selain itu, mahkamah menetapkan syarat tambahan iaitu perlu melapor diri di balai polis berhampiran pada Sabtu pertama setiap bulan dan paspot diserahkan kepada mahkamah.

Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 8 Disember depan untuk serahan dokumen.

Sementara itu, PU Azman ketika ditemui selepas membayar duit jaminan pada pukul 2.40 petang tadi mengucapkan terima kasih dan menghargai doa daripada semua pihak.

"Terima kasih kerana sudi menunggu dan Cikman menghargai doa daripada semua pihak.

Alhamduliliah hari ini proses pertuduhan diserahkan kepada peguam," katanya ringkas.

VIDEO SUMBER KOSMO
 

@kosmoonline Penceramah selebriti, PU Azman didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas lima pertuduhan amang seksual terhadap dua remaja lelaki tahun lalu. #puazman ♬ original sound - Kosmo!
Destination: