[VIDEO] Trend 'Balang Air Akuarium' Tak Elok Untuk Kesihatan, KKM Larang Jual Kerana Ia Satu Kesalahan!

TERKINI
July 21, 2023 - 12:24 PM


Baru-baru ini viral dengan isu penjual minuman menggunakan akuarium ikan bagi menggantikan balang air sebagai satu cara menarik perhatian pelanggan.

Susulan itu ia mendapat pelbagai reaksi netizen dengan ada yang menyifatkan ia sebagai kreatif -- namun ramai juga mengecam kerana tidak sesuai akuarium dijadikan tempat penyimpanan air minuman.

@malaysiagazette “Kita mesti lihat kualiti bahan atau balang yang digunakan. Seperti yang di dalam Twitter ini, ia adalah sebuah akuariaum yang kebiasaannya untuk kegunaan memelihara ikan,” - Timbalan Menteri Kesihatan Video: Sosial Media #MalaysiaGazette #MGnews #airbalangakuarium #KKM ♬ Hilang - Najwa Latif

Menurut perkongsian di laman Facebook Public Health Malaysia, bukan semua bahan sesuai untuk menjadi tempat penyimpanan dan penyediaan makanan atau minuman.

Untuk keselamatan, menurut laman media sosial itu, peniaga perlu memilih bekas yang ada tanda “gred makanan”.

“Penggunaan akuarium boleh menyebabkan kebocoran bahan kimia dari bahan akuarium (silikon) yang tidak selamat ke dalam makanan.

“Ada bahan bahan kimia bahaya yang boleh menyebabkan kanser.

“Pam akuarium, lapisan dalam akuarium dan celah-celah akuarium sukar untuk dibersihkan. Ada risiko pertumbuhan bakteria dan kulat,” kongsinya.

Sementara itu, memetik laporan Malaysia Gazette -- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melarang penggunaan akuarium sebagai bekas penyimpanan makanan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata akuarium biasanya diperbuat daripada bahan kaca atau plastik berkemungkinan mengandungi bahan kimia seperti plumbum atau phthalates, yang boleh larut dalam air seterusnya mencemarkan air tersebut -- sekali gus mengakibatkan kesan kepada kesihatan.

Tambahnya, larangan itu dalam terkandung dalam Peraturan 31, Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

“Dalam hal ini, menjadi satu kesalahan apabila akuarium yang berfungsi sebagai bekas memelihara ikan dan bukan bertujuan untuk penyimpanan makanan digunakan sebagai bekas penyimpanan air bagi tujuan jualan,” katanya.

Menurutnya, KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan akan sentiasa menjalankan pemantauan ke atas penjualan makanan termasuk penjualan minuman yang menggunakan bekas bukan tujuan makanan.

“KKM menegaskan kepada penjual dan pengguna untuk memandang serius tentang keselamatan makanan dan memastikan makanan yang dijual adalah selamat dan berkualiti untuk semua,” ujarnya.

Pada masa sama, KKM menasihatkan orang ramai membeli makanan di premis yang bersih.

 

Destination: