11 Ole-Ole Wajib Beli Di Busan
TRAVELSiapa sangka bercuti ke Busan, memang langsung tak membosankan.
Sebaliknya, kita akan jatuh cinta dengan bandar yang dikelilingi lautan dan alam semulajadi yang sangat menenangkan.
Pantainya yang bersih, kehidupan malamnya yang meriah dan kelazatan makanan lautnya yang segar-segar belaka pasti membuatkan kita merindui Busan.
Jadi, pastikan anda membeli cenderahati yang dapat memastikan memori Busan kekal selamanya walaupun dah balik ke Malaysia. Juga mungkin sedikit ole-ole buat keluarga dan sahabat handai.
Ini 11 ole-ole yang boleh anda beli hanya dari Busan, Korea Selatan!
#1. Kek Ikan
Salah satu makanan snek jalanan yang paling popular di Korea ialah kek ikan atau eomuk. Tapi Kek Ikan Busan sangat terkenal kerana kelazatannya. Maklumlah dah kata pun Busan, bandar perikanan mestilah kek ikan dia pun segar dan berkualiti tinggi.
Samjin Fish Cake Bakery adalah pembuat kek ikan paling tua di Busan dan menjual lebih 50 jenis kek ikan. Anda boleh ke kedai utama mereka iaitu di tingkat dua Stesen Busan.
Samjin Eomuk: 36 Taejong-ro 99beon-gil, Bongnae 1(il)-dong, Yeongdo-gu, Busan
#2. Seramik
Seramik dan barangan dapur dari Busan adalah unik kerana barangan di sini mempunyai nilai estetika yang berbeza dari seramik di kawasan Korea lain.
Busan secara sejarahnya lebih banyak dipengaruhi oleh budaya Jepun daripada bahagian lain Korea Selatan dan ia tergambar menerusi barang tembikarnya.
Banyak produk seramik yang unik dan antik boleh didapati di Busan dan antara yang terkenal adalah kedai ‘Meet Antique Item’ ini.
Meet Antique Items: 66, Bupyeong 2-gil, Jung-gu, Busan
#3. Teh Korea
Kalau dah beli set teh tembikar, tak lengkaplah pula kalau tak beli Teh Korea kan?
Teh tradisional seperti Omija (teh 5 rasa) dan Meshil (plum manis) menjadi kegemaran masyarakat Korea hingga ke hari ini.
#4. Makanan Laut Kering
Makanan laut kering seperti ikan bilis dan udang kering juga banyak dijual di Busan terutama di sekitar Jagalchi Market dan Dried Seafood Market.
Selain dapat diberikan sebagai ole-ole khusus buat saudara atau kenalan yang bergelar ibu, mungkin anda sendiri dapat gunakannya dalam masakan. Mesti rasanya sedap sebab makanan laut kering di sini ditangkap segar-segar dari laut terus kepada pelanggan.
Peniaga di sini sememangnya dah peka kalau pelancong yang beli produk kering mereka akan membungkusnya elok-elok di dalam kotak yang sesuai untuk dicheck-in terus.
Dried Seafood Market : 1, Yongmi-gil 8beon-gil, Jung-gu, Busan
#6. Rumpai Laut
Rumpai laut segar biasanya banyak dijual di sekitar pantai di Busan.
Bagaimanapun untuk cenderahati, anda mungkin hanya mampu membeli rumpai laut kering yang rasanya pun tak kurang sedapnya seperti rumpai laut yang segar.
Kalau rumpai laut kering, ia mudah didapati di mana-mana kedai runcit atau pasar raya di sekitar Busan. Menariknya, sekarang dah ada rumpai laut dengan pelbagai perisa yang sedap sebagai kudapan.
#7. Buku
Jalan Buku Bosu-dong ini adalah syurga bagi penggemar buku-buku sejarah lama zaman kemerdekaan Korea.
Malah, di sini juga menjadi tumpuan para pelajar dan profesor mencari pelbagai bahan bacaan yang sukar didapati di kedai-kedai buku besar lainnya.
Jadi, apa kata anda belek-belek dan pilih sendiri buku yang ingin dibawa balik ke Malaysia untuk dibaca atau mungkin dihadiahkan kepada rakan-rakan yang sememangnya pencinta buku.
Bosu-dong Book Street, 8, Chaekbanggolmok-gil, Jung-gu, Busan
#8. Hanji
Hanji pada asasnya merujuk kepada produk yang dibuat daripada kertas buatan tangan tradisional Korea .
Hanji dihasilkan daripada pokok mulberry yang telah berusia berabad lamanya serta digunakan untuk melindungi pintu dan tingkap bagi mengekalkan kehangatan rumah-rumah di Korea pada zaman dahulu.
Namun, hari ini Hanji telah diinovasi menjadi anak patung kertas, lampu meja yang indah, lampu gantung, alat tulis dan perhiasan rumah.
Sebagai ole-ole yang mudah untuk disimpan dalam beg agar tidak terkoyak, mungkin anda boleh menghadiahkan kenalan dengan kipas tangan Hanji yang bermotifkan kaligrafi Korea.
#9. Sulaman Korea
Kalau kita di Malaysia terkenal dengan cantingan Batik, di Busan mereka sangat terkenal dengan produk sulaman Korea.
Di Busanjin Market, pelbagai produk dengan sulaman tradisional Korea boleh anda borong antaranya pakaian, dompet wanita, beg, kasut dan bekas chopstick. Semua ini berbaloi dan membawa elemen Korea untuk dijadikan ole-ole.
Busanjin Market, Beomil-dong, Dong-gu, Busan
#10. Produk Kecantikan
Ini tak payah cakaplah memang kaum wanita wajib bawa balik kalau datang ke Korea.
Di Busan, anda boleh borong barangan kosmetik dari pelbagai jenama Korea ini di Sound Body Sound Skin Busan Choryang. Ia umpama one-stop centre untuk mereka yang gilakan produk kecantikan.
46-21, 4F, Namsan Bldg, Choryang3-dong, Dong-gu, Busan
#11. Barangan Kpop
Busan juga popular sebagai bandar perfileman Korea, sebab itu di sana ada ‘Busan International Film Festival (BIFF) Square.
Kalau anda atau kenalan yang memang gilakan artis atau drama dan filem Korea, Busan sememangnya lokasi paling tepat untuk mendapatkan cenderahati Kpop atau rekod-rekod filem mereka di GM Music berdekatan Gukje Market.