Takde Idea Nak Bercuti Mana Nanti? Jom Usha Pakej Kat 'Virtual Tourism Expo 2021' Hujung Bulan Ni!

TRAVEL
August 12, 2021 - 07:42 PM


Wah, mesti korang yang dah lengkap 2 dos vaksin dan sedang berada di negeri yang berstatus Fasa 2 atau 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dah tak sabar nak bercuti dan melancong domestik, kan...

Kalau korang masih belum ada idea atau destinasi percutian yang nak dituju, apa kata korang sertai pameran pelancongan maya atau "Virtual Tourism Expo 2021yang akan diadakan bermula 27 hingga 29 Ogos ini.

Pameran tersebut katanya bakal memberikan suatu pengalaman baharu kepada para pengunjung ekspo kerana ia menggunakan ruang pameran maya berteknologi tiga dimensi atau 3-D, yang direka khas menyerupai pameran secara fizikal.

Menariknya, para pengunjung juga akan dapat berinteraksi secara maya dan 'live' dengan peserta pameran serta dapat membeli pakej-pakej pelancongan secara dalam talian melalui teknologi digital canggih 3-D yang disediakan oleh Persatuan Teknologi Pelancongan Digital Malaysia (DiTTAM).

Terdapat lebih daripada 150 ruang pameran teknologi 3-D dalam VTE 2021 yang boleh dikunjungi secara maya oleh para pengunjung.

Antara yang telah mengesahkan kehadiran di pameran berkenaan adalah seperti pihak Tourism Malaysia serta Jabatan Pelancongan Negeri Langkawi, Perak, Pahang, Pulau Pinang, Selangor dan Melaka.

Bukan itu sahaja, malah ekspo tersebut juga akan disertai Persatuan Kelab-Kelab Golf, Persatuan Penyelam, Inap Desa, Hotel, Resort dan agensi pelancongan yang akan berkampung secara maya di VTE2021 selama 3 hari.

VTE2021 akan dianjurkan di DiTTAM Virtual Convention Center (DVCC) bermula pukul 10.00 pagi hingga 10.00 malam secara dalam talian.

Pameran yang bertemakan 'Semuanya Ada Di Malaysia' itu dilakukan seiring dengan usaha kerajaan untuk mempromosikan pelancongan domestik -- selain mewujudkan platform pemasaran maya untuk pemain industri yang terlibat secara khusus dalam pakej dan perkhidmatan domestik.

Pameran maya tersebut dijangka akan dirasmikan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Datuk Seri Nancy Shukri.

Sumber: Astro Awani

Destination: