Wow, 12 Destinasi Pelancongan Dunia Ni Dibuka Semula Bermula Jun 2020!

TRAVEL
June 01, 2020 - 05:04 PM


Di benua Eropah ketika ini bakal mengalami kerancakan percutian musim panas yang sememangnya ditunggu-tunggu oleh para pengembara dari seluruh dunia.

Melihat perubahan positif penularan COVID-19 yang semakin reda dari sehari ke sehari membuatkan Suruhanjaya Eropah pada minggu lalu telah mengumumkan pelan bagi membuka semula pintu sempadan negara mereka untuk memulihkan industri pelancongan yang terkesan teruk akibat pandemik itu.

Meskipun masih banyak negara yang tidak menggalakkan perjalanan yang kurang penting kerana khuatir dengan kemungkinan berlaku gelombang kedua atau ketiga penularan wabak berkenaan, namun ada negara terutama yang ekonominya sangat bergantung kepada sektor pelancongan sudah merancang membuka pintunya kepada para pelancong seawal bulan Jun ini lagi.

Jom kita lihat 12 senarai destinasi pelancongan yang mula memberi "lampu hijau" kepada para traveller untuk berkunjung menjelang musim panas nanti :-

1) PORTUGAL

Bermula pertengahan Mac lalu, Portugal telah melonggarkan sekatan kepada rakyatnya dengan membenarkan kembali kedai dan restoran beroperasi semula dan menjadi salah satu negara Eropah pertama yang bakal menyambut kedatangan pengunjung luar.

Menteri Luar Portugal, Santos Silva mengumumkan meskipun penerbangan dari luar Kesatuan Eropah belum lagi diberi lampu hijau sehingga 15 Jun ini namun mereka tetap membenarkan kemasukan pelancong lain terutama dari negara Eropah dan pemeriksaan kesihatan yang ketat akan dilaksanakan di lapangan terbang.

Untuk rekod, Portugal mencatatkan sebanyak 31,007 kes positif COVID-19 dengan 1,342 kematian.

2) FLORIDA

Kepulauan Florida di Amerika Syarikat mula ditutup kepada pelancong sejak 22 Mac lalu.

Disebabkan nadi ekonomi rangkaian pulau-pulau di sana bergantung kepada sektor pelancongan, justeru lokasi itu diharap dapat beroperasi semula bermula 1 Jun, sebagaimana yang diumumkan oleh Ketua Pejabat Pengurusan Florida Keys dan Key West, Rita Irwin.

Selain bakal melaksanakan penjarakan sosial dan garis panduan pembasmian kuman, fasa pertama pembukaan semula destinasi pelancongan di Florida hanya akan dihadkan kepada separuh sahaja kuota penginapan dan angka itu akan dinilai semula menjelang akhir bulan ini.

3) MEXICO

Beberapa tempat pelancongan terkenal di Mexico seperti Cancun, Tulum, dan Riviera Maya dijangka bakal menyambut kehadiran pelancong antarabangsa antara 8 hingga 10 Jun ini, menurut Mexico News Daily.

Pembukaan semula ini bertepatan dengan penyambungan kembali penerbangan dari AS, Kanada, dan Eropah ke kawasan itu.

Seiiring dengan pembukaan semula destinasi pelancongan tersebut, protokol kebersihan baru juga akan disediakan.

Menariknya bagi mengalu-alukan kedatangan pelancongan, Cancun dan beberapa destinasi lain di Quintana Roo turut menawarkan penginapan semalam percuma dan diskaun menarik lain kepada pengunjung yang bercuti ke sana sepanjang tahun ini.

4) CYPRUS

Cyprus dijangka mula menyambut pelancong pada 9 Jun depan.

Namun, ia hanya merancang untuk membenarkan pengunjung dari negara-negara yang dianggapnya "selamat," dan yang mempunyai kadar jangkitan yang rendah.

Terdapat 19 negara dalam senarai ini antaranya Jerman, Austria, Greece, Finland, Denmark, dan Norway.

5) ICELAND

Perdana Menteri Iceland mengatakan bahawa negara itu bakal memberikan lampu hijau untuk pelancong pada 15 Jun nanti.

Hanya pelancong yang disaring dan negatif ujian COVID-19 sahaja yang akan dibenarkan masuk tanpa perlu menjalani proses kuarantin diri selama 14 hari.

6) GREECE

Sebilangan besar perniagaan di Greece seperti salun rambut dan kedai buku telah dibuka sejak awal Mei lalu.

Sementara bermula 1 Jun, hotel dibenarkan untuk beroperasi semula bagi membuat persediaan menerima kedatangan pelancong ke negara itu mulai pertengahan Jun ini.

Perdana Menteri Greece berkata saringan ujian COVID-19 akan dilakukan di lapangan terbang dan pemeriksaan suhu juga turut dilaksanakan di hotel dan restoran seluruh negara.

7) ITALI

Itali merupakan negara yang mencatatkan rekod lockdown paling lama di Eropah iaitu dari 10 Mac hingga 4 Mei apabila 62 juta penduduknya diarahkan untuk mengasingkan diri di dalam rumah.

Namun kini pemerintah Itali mengumumkan bahawa negaranya merancang untuk mengizinkan perjalanan antarabangsa mulai 3 Jun.

Fasa pertama hanya orang Eropah yang akan dibenarkan mengunjungi Itali dan menjelang 15 Jun nanti barulah pengunjung dari luar Kesatuan Eropah pula diberikan lampu hijau berkenaan.

8) VIRGIN ISLAND, AS

Menurut sidang media, Gabenor Albert Bryan Jr telah bekerjasama dengan Jabatan Pelancongan, Jabatan Kesihatan, dan Persatuan Pelancongan Kepulauan Virgin AS untuk membenarkan kedatangan pelancong pada 1 Jun.

Ia selepas situasi semasa di kepulauan itu dilihat semakin pulih dan membaik.

Setakat ini, Kepulauan Virgin, Amerika Syarikat merekodkan 69 kes positif COVID-19 dengan 6 kes kematian.

9) SAINT LUCIA

Pemerintah Saint Lucia mengumumkan pembukaan kembali secara berperingkat kepada pelancong mulai 4 Jun, menerusi kebenaran semula penerbangan antarabangsanya.

Bagaimanapun, pengunjung perlu mengemukakan ujian COVID-19 negatif semasa ketibaan, dan semestinya diwajibkan melakukan pemeriksaan suhu di lapangan terbang, hotel, dan di restoran, serta keperluan memakai topeng dan melakukan penjarakan sosial.

Saint Lucia mempunyai hanya 18 kes positif COVID-19 yang disahkan, tanpa ada sebarang kes kematian.

10) KEPULAUAN CARRIBEAN

Caribbean National Weekly melaporkan bahawa Menteri Pelancongan Antigua dan Barbuda, Charles Fernandez mengatakan dalam pertemuan maya untuk membuka semula pintu masuk negara itu menerusi penerbangan American Airlines dari Miami yang dijadualkan pada 4 Jun ini.

Ia akan menjadi penerbangan penumpang antarabangsa pertama ke negara ini dalam tempoh 10 minggu sepanjang perintah berkurung.

Antigua dan Barbuda menyaksikan 25 kes positif COVID-19 dan 3 kematian.

11) SEPANYOL

Menurut Reuters, Menteri Pengangkutan Sepanyol, José Luis Ábalos berharap pelancong akan mula diberikan kebenaran untuk berkunjung ke negara itu bermula akhir bulan Jun.

Namun, tidak ada perincian lebih lanjut yang diberikan.

Walaupun kuarantin selama 14 hari wajib dilaksanakan untuk pengunjung yang tiba di Sepanyol sejak minggu lalu, namun Ábalos mengatakan bahawa sekatan perjalanan itu akan dicabut secara beransur-ansur tidak lama lagi.

12) ARUBA

Aruba mengumumkan bahawa ia akan menyambut kedatangan pengunjung antara 15 Jun dan 1 Julai.

Ketika ini pihak berkuasa Aruba sedang giat mempertimbangkan langkah-langkah pencegahan tambahan jika diperlukan sebagai persediaan menerima kedatangan pelancong luar.

Sehingga kini, Aruba mempunyai 101 kes positif COVID-19 dengan 3 rekod kematian.

Sumber: Insider.com

Destination: