Lelaki Ini Kongsi Trip Summer Ke Iceland, Dapat Tengok Fenomena "Matahari Di Tengah Malam"
TRAVELSiapa yang tidak memasang angan-angan untuk melancong ke Iceland di benua Atlantik Utara yang sememangnya terkenal dengan fenomena aurora iaitu paparan cahaya semula jadi di langit sekitar Artik dan Antartik, antara pemandangan indah digemari pelancong serata dunia!
Seorang pengguna Facebook yang juga Pengasas Lensa Kembara, Khairul Hafiz yang berpeluang melawat Iceland pada Jun dan Julai lepas telah berkongsi beberapa gambar dan fakta menarik mengenai negara itu terutama mengenai "Iceland Summer Midnightsun" yang dialami beliau sendiri bersama sahabat-sahabatnya.
Jom kita ikuti perkongsian beliau.
FAKTA MENARIK TENTANG GEOGRAFI ICELAND
Dalam istilah geologi, Iceland adalah sebuah negara yang masih muda dan masih dalam pembikinan. Jika bumi dikatakan berusia 4.5 billion tahun lamanya, batu yang tertua di Iceland hanya berusia sekitar 16 juta tahun lamanya.
Kedudukannya terletak di tengah rantaian gunung Atlantic, di mana plat tektonik Eurasian dan Amerika Utara dengan perlahan terpisah membuatkan Iceland terpecah kepada barat dan timur sekitar 2cm dalam jarak masa setahun.
Jika menjenguk di tingkap kapal terbang ketika penerbangan menghampiri Lapangan Terbang Kefkavik, kita dapat melihat rekahan lava mengarah pada satu arah yang sama, dan ia juga kelihatan seperti sebuah kek yang telah ditinggalkan terlalu lama di dalam oven. Kesan daripada keadaan ini dapat dilihat pada landskap di Pingvellir National Park di mana lurah gaung dan dinding batu bersusun pada susunan tertentu yang sama.
Plat pada permukaan lautnya pula bergerak pada arah yang bertentangan, menyebabkan tekanan berlaku kepada kerak bumi, dan akhirnya ia melepaskan tekanan melalui kejadian gempa bumi dan erupsi gunung yang membentuk gugusan gunung berapi di tengah-tengah Lautan Atlantik.
Di bawah mukabumi Iceland terdapat gumpalan mantel tambahan dengan lebih banyak gunung berapi, menyebabkan pulau itu tertimbul tinggi dari lautan, dengan sebab kejadian itu ia digelar sebagai Land of Fire.
DIGELAR "LAND OF ICE" SEBAGAIMANA NAMANYA, ICELAND
Sebagaimana namanya, Iceland juga digelar sebagai Land of Ice. (Walaupun ais yang ada di Iceland tidaklah sebanyak seperti yang ada di Greenland). Sekitar 10% daripada permukaan bumi Iceland ini diliputi oleh glacier. Ia berada di kedudukan Latitud yang tinggi, hanya sedikit terkeluar di bawah bulatan Artik.
Beberapa gunung berapi yang masih aktif di Iceland juga tertimbus di bawah glacier seperti Grimsvotn dan Katla.
SUHU DI ICELAND
Ada beberapa kekeliruan berlaku tentang Iceland. Pertama, ia sebuah negara yang sejuk, namun ia tidak sesejuk seperti di kawasan bulatan Artik yang lain. Di situ terdapat satu fenomena dinamakan Gulf Stream. Di mana, ada arus lautan yang membawa angin panas dari Teluk Mexico, ke Lautan Atlantik membuatkan suhu di Iceland lebih tinggi dari yang sepatutnya.
Ketika musim sejuk, purata suhu adalah sekitr 0 darjah C dan ketika musim panas purata suhu adalah sekitar 11 darjah C.
FENOMENA "MATAHARI DI TENGAH MALAM"
Ketika musim panas inilah, kami dapat menikmati suasana midnight sun. Satu fenomena di mana malamnya tidak gelap, masih terdapat cahaya matahari dan cahaya matahari pagi sangat cantik dapat dilihat seperti langit yang terbakar berwarna oren kemerahan, merah jambu serta ungu.
Waktu Maghrib juga hanya masuk pada sekitar pukul 11.30 malam, dan Isyak pula pada pukul 12.30 malam, manakala waktu Subuh pula pada pukul 1.30 pagi.
Jika kita berpuasa, semasa kita berbuka puasa, belum sempat nak sendawa, kita dah terdengar azan subuh. Hihi!
Orang Iceland akan berkata,
"Jika anda tidak sukakan cuaca pada hari ni, tunggu lagi dalam lima minit."
Ini kerana suhu di Iceland boleh berubah sekelip mata dalam masa 5minit. Sedang awan mendung hitam di atas, dan hujan turun rintik-rintik, dalam masa 5 minit, tiba-tiba awan hitam berarak pergi, dan cahaya matahari muncul dan memberi silauan cahaya matahari kepada pemandangan.
Dalam masa sehari, kita boleh merasa hujan, angin yang kuat, salji, hujan batu dan cahaya matahari dalam masa yang singkat.
JUMLAH KAMBING BIRI-BIRI LEBIH BANYAK DARIPADA JUMLAH PENDUDUK DI ICELAND
Antara fakta yang kadang-kadang ramai orang tersalah adalah, Iceland adalah pulau yang kecil. Fakta sebenar adalah Iceland adalah sebuah pulau yang sangat besar sekitar 103,000 km persegi, lebih besar dari kebanyakan negara eropah seperti Hungary, Austria dan Portugal.
Oleh kerana penduduk di seluruh Iceland hanya sekitar 380,000 orang, kepadatan penduduknya sangat kurang. Jika kita memandu di Iceland, kadang-kadang dapat melihat hanya 2 atau 3 buah rumah, kemudian dalam selang jarak yang lama lagi baru kita dapat jumpa lagi beberapa buah rumah yang lain.
Orang Iceland sendiri mengatakan, kambing berbiri lebih ramai di Iceland sekitar 800,000 ekor berbanding jumlah manusia.
Sumber & Kredit Gambar: Khairul Hafiz