COVID-19 Diisytihar Sebagai "Pandemik" Oleh WHO
TERKINIDisebabkan situasi semasa penularan wabak COVID-19 yang semakin teruk dan membimbangkan sehingga telah meragut 4,291 nyawa serta melibatkan 114 negara --- Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semalam mengisytiharkan COVID-19 sebagai PANDEMIK!
Secara umum, pandemik bermaksud wabak penyakit yang tersebar dengan begitu meluas merentasi sempadan, malah hingga ke seluruh dunia.
Berikut adalah penerangan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia yang berkongsi mengenai perbezaan 'Endemik, Epidemik dan Pandemik'.
Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, berkata virus berkenaan telah menjangkiti lebih 118,000 orang bahkan angka terbabit dijangka terus meningkat.
“Kami sangat khuatir dengan tahap penularan dan keadaan wabak ini yang teruk, serta tindakan tidak mencukupi yang membimbangkan. Sehubungan itu, kami telah membuat penilaian bahawa COVID-19 boleh disifatkan sebagai satu pandemik,” katanya.
Beliau bagaimanapun tidak menyatakan secara khusus negara yang gagal mengambil tindakan mencukupi mahupun menjelaskan pendekatan lanjut diperlukan.
Sebaliknya, beliau menekankan bahawa semua negara perlu mengambil tindakan segera dan agresif untuk mengekang serta memerangi virus berkenaan.
Ini kerana sebelum ini belum pernah pandemik dicetuskan oleh koronavirus.
Jumlah kes COVID-19 di luar China meningkat 13 kali ganda dalam tempoh dua minggu lalu, manakala bilangan negara yang terkesan bertambah tiga kali ganda.
Iran dan Itali muncul negara paling terkesan di Asia Barat serta Eropah dengan masing-masing mencatatkan 354 dan 827 kematian, setakat ini.
Tedros berkata, Itali dan Iran sedang berada ‘di barisan hadapan’ dan menderita akibat penularan wabak itu.
Sumber: Berita Harian